MEWUJUDKAN
SATU UNIT PENYELIDIKAN SUMBER MANUSIA Kerajaan hendaklah menubuhkan sebuah
UNIT Penyelidikan sebagai sebahagian daripada program pembangunan sumber manusia
negara. Unit ini akan mengenalpasti objektif-objektif keseluruhan pembangunan
sumber manusia negara dengan mengambil kira pengaruh dan aliran permintaan global
atas pembangunan serta mengenalpasti bidang-bidang yang perlu dibangunkan dari
segi sumber manusia. Pada amnya peranan Unit Penyelidikan ini adalah untuk memantau
program pembangunan sumber manusia di negara ini.
-
PENDIDIKAN
NCWO
mencadangkan supaya sistem pendidikan yang ada sekarang dinilai kembali, baik
dari segi falsafahnya, tujuan-tujuannya, dan peranan institusi-institusi di bawahnya
untuk menyelaraskannya dengan Wawasan 2020 dan cabaran-cabaran semasa termasuk
penggunaan dan terimapakai IT. Kementerian Pendidikan juga dicadangkan menyusun
program khas bagi golongan-golongan yang kini masih terpinggir seperti: i)
Golongan kurang upaya ii) Suri-suri rumah yang tidak berkemahiran untuk menambahkan
pendapatan, baik dengan bekerja di rumah mahupun untuk bekerja bergaji. iii)
Warga tua yang berpengalaman dan yang masih sihat dan berkeupayaan.
-
PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT
NCWO mengesyorkan supaya "pendidikan sepanjang
hayat" dijadikan satu kenyataan dalam system pendidikan di negara kita.
-
INFRASTRUKTUR PENDIDIKAN
NCWO menggesa supaya: (a) bilangan bangunan
sekolah hendaklah dibina mencukupi untuk menampung kehendak penduduk yang kian
bertambah. (b) Mengurangkan bilangan murid bagi setiap darjah kepada 30 -
35 orang murid sahaja. (c) Menghentikan amalan yang menggunakan bangunan sekolah
untuk dua sessi, iaitu sessi petang bagi darjah-darjah tertentu. Kelas-kelas sebelah
petang hendaklah untuk murid-murid sekolah satu sessi. (d) Memberi pembekalan
kelengkapan yang mencukupi untuk semua sekolah, baik di bandar mahupun di luar
bandar, dan hentikan amalan memihak mana-mana sekolah dan menganaktirikan sekolah-sekolah
lain. (e) Kemudahan-kemudahan untuk guru-guru hendaklah mencukupi seperti
perumahan, ruang pejabat, dan elaun-elaun untuk kenderaan dan sebagainya.
-
PENDIDIKAN PERGURUAN
Pendidikan dan latihan guru-guru dan bakal guru janganlah hendaknya diabaikan,
malah hendaklah diberi keutamaan, kerana, kepada gurulah terletaknya mutu dan
keberkesanan pendidikan negara. Satu unit khas hendaklah diwujudkan bagi menggubal
dan mengawasi Kurikulum Perguruan supaya ianya kemaskini, komprehensif dan dapat
membekalkan guru-guru dengan kemahiran-kemahiran sebagai seorang pengajar dan
pendidik yang berkeupayaan menggunakan teknologi-teknologi semasa. Hendaklah juga
diadakan satu sistem penilaian atau akreditasi untuk mengenalpasti pendidikan
guru (teacher educators) yang terkemuka dan yang berkepakaran. Hendaklah diinsafi
bahawa bukan semua pegawai pentadbir "pakar" dalam bidang yang mereka mentadbiri.
- KEMAHIRAN
BAHASA
Mencadangkan bahawa kemahiran bahasa tenaga pekerja dipertingkatkan
supaya sejumlah besar pekerja hendaklah mahir dalam sekurang-sekurangnya DUA bahasa,
iaitu Bahasa Kebangsaan dan SATU BAHASA ANTARABANGSA (termasuk bahasa Inggeris).
Di samping itu warga negara Malaysia hendaklah digalakkkan mempelajari bahasa-bahasa
tempatan yang mempunyai penggunaan yang lebih luas seperti Mandarin, Thai, Tamil,
Arab dan sebagainya.
- WANITA
SEBAGAI PEKERJA
Pekerja wanita adalah berupa sumber tenaga yang tidak
dapat dipinggirkan. Mereka adalah sebahagian penting jumlah tenaga manusia. Oleh
yang demikian, segala rintangan dan keperihatinan mereka hendaklah diberi pertimbangan
yang saksama dan berpatutan, termasuk: (a) Mewajibkan penubuhan pusat-pusat asuhan
kanak-kanak kecil (infant dan toddler care centers) berhampiran dengan tempat-tempat
kerja, atau tempat kediaman, yang selesa, selamat dan yang memenuhi syarat-syarat
minima bagi pusat-pusat asuhan sepertinya. (b) Mewujudkan pusat-pusat TADIKA
atau prasekolah bagi kanak-kanak yang belum cukup umur untuk memasuki sekolah
di tempat-tempat yang sesuai serta dilengkapi dengan ruang bacaan/bercerita, raung
rekreasi, ruang bermain dan rehat, dan persediaan makanan yang berzat dan bersih.
Pusat-pusat ini hendaklah juga dibuka untuk kanak-kanak sekolah rendah selepas
waktu sekolah iaitu "latch key kids" (yang kedua ibubapa mereka keluar bekerja).
(c) Semua pekerja hendaklah dibolehkan bekerja dengan masa bertugas yang anjal
(flexitime) untuk membolehkan mereka memberi tumpuan kepada keperluan kanak-kanak
dan keluarga.
II.
Pandangan mengenai EKONOMI DAN DAYASAING NEGARA Pada
amnya, NCWO berpendapat bahawa pembangunan ekonomi mestilah memberi manfaat kepada
rakyat jelata, bukan kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Justru itu, pemaju-pemaju
hendaklah berwaspada akan kesan-kesan terhadap alam sekitar, mutu persekitaran
habitat dan kemudahan-kemudahan yang boleh mempertingkatkan mutu kehidupan rakyat. Cabaran
masa depan pembangunan ekonomi akan bergantung sebahagian besar kepada ilmu pengetahuan
dan kepakaran pekerja dalam bidan teknologi, dan tidak semata-mata kepada tenaga
buruh-buruh kasar yang kurang berpelajaran. Saingan di arena global memerlukan
pekerja kita mempunyai daya saingan dari segi produktiviti, ilmu pengetahuan dan
dayacipta, motivasi dan daya keyakinan diri. Pegangan
kepada prinsip "value added" adalah penting untuk semua pihak yang terlibat dalam
usaha membangunkan ekonomi negara. Oleh
itu NCWO bercadang: - Semua
sektor Kerajaaan dan sektor swasta mengadakan program-program sewajarnya dengan
bertujuan untuk membina;
(a) Semangat bersaing yang sihat dan bermoral (b)
Kadar produktiviti pekerja (c) Kemahiran menggunakan teknologi yang boleh
bertukar-pindah.
-
Mempertingkatkan mutu pendidikan yang disajikan melalui sistem pendidikan formal
bagi semua peringkat, terutama di peringkat 'post secondary' and universiti. Sistem
pendidikan mestilah mempastikan lepasan-lepasan institusi berkenaan boleh: BERFIKIR,
MENILAI, MENULIS DAN MEMBACA DENGAN CEKAP, MERANCANG DAN MEMBUAT KEPUTUSAN, BERKOMUNIKASI,
DAN MAHIR MENGGUNAKAN IT.
-
Sistem Pendidikan Berterusan (a system of continuing education) hendaklah diwujudkan
dengan kerjasama institusi-institusi swasta, yang mempunyai peluang-peluang terbuka
kepada berbagai permintaan dan kecenderunagn. Satu kajian atau pasukan petugas
hendaklah diwujudkan bagi menawarkan kepakaran yang ada di kalangan ahli-ahlinya.
-
NCWO menggesakan Kerajaan untuk membangunkan sektor-sektor yang berpotensi masa
depan seperti:
(a) Industri Pelancongan (b) Industri Pendidikan (untuk
pelajar asing) (c) Industri Perbankangan dan Kewangan (d) Industri Teknologi
Maklumat.
-
MEMBANGUNKAN USAHAWAN WANITA NCWO menggesa supaya Kerajaan memberi "peluang-peluang
yang sama" dan mengambil "affirmative action" bagi memajukan usahawan wanita dan
menggalakan wanita berkecimpung dalam peniagaan dan pengeluaran peringkat global
dan antarabangsa. Berkaitan dengan ini sokongan hendaklah diberi untuk usahawan-usahawan
wanita menyertai pameran-pameran dan missi perdagangan ke luar negara, dan untuk
menyertai persidangan-persidangan seperti APEC, EAEC dan ASEAN Business Forum.
III.
Pandangan mengenai SAINS DAN TEKNOLOGI Berasaskan
strategi 6 dalam wawasan 2020 yang menyeru kepada penubuhan sebuah masyarakat
yang berlandaskan Ilmu Sains dan Teknologi, maka NCWO mengemukakan syor berikut:
-
Dasar Negara bagi Sains dan Teknologi Kerajaan hendaklah mengambil inisiatif menggubal
dam wujudkan satu dasar negara mengenai Sains dan Teknologi dan terimapakai dasar
ini untuk merancang program-program bagi jangkamasa-jangkamasa tertentu dengan
mengenalpasti golongan-golongan sasaran yang sewajarnya. Dasar ini hendaklah juga
menentukan sasaran nisbah ahli sains bagi setiap 1 juta penduduk. NCWO mencadangkan
nisbah ini hendaklah ditambah daripada 460 orang kepada 2300 orang ahli sains
bagi setiap 1 juta penduduk.
-
Strategi-strategi bagi menambahkan sumber ahli sains.
(a) Jelaskan "specific
career path" bagi amhasiswa dan lepasan siswazah. (b) Beri insentif/galakan
kepada saintis dari segi gaji dan ganjaran. (c) Galakan penglibatan wanita
dan kekalkan penyertaan mereka dalam sumber tenaga manusia (d) Pertingkatkan peranan
dan penyertaan saintis wanita dalam bidang membuat keputusan. (e) Wujudkan
satu Majlis Penyelidikan Sains untuk memantau dan untuk menjadi majikan kepada
saintis untuk bertugas di institut-institut penyelidikan Majlis ini. Dengan demikian
dapat diperbanyakan bilangan saintis sehingga tercapai "critical mass" di kalangan
ahlisains.
-
Perancangan bagi R & D
NCWO mengemukakan cadangan berikut: (a) Tambahkan
lagi peruntukan belanjawan untuk R & D kepada kadar 5% GDP (seperti yang disyorkan
oleh World Conference on Science). (b) Tambahkan tumpuan kepada "fundamental
science research" (c) Beri pengiktirafan kepada sumbangan ahli sains, terutama
saintis wanita. (d) Minta sumbangan daripada sektor swasta (menerusi perundangan)
kepada R & D.
-
Ke arah melahirkan Budaya Sains
NCWO berpendapat ada beberapa syarat penting
yang mesti diberi perhatian, (i) Kadar literasi sains yang tinggi (ii)
Sistem jaringan yang berfungsi (iii) Kesedaran pada peringkat (a) Kerajaan
(b) pelajar di semua peringkat dan (c) rakyat am.
-
Hubungan Sains dan Teknologi dengan Alam sekitar
NCWO merasai bimbang akan
kesan-kesan negatif yang mungkin terdapat akibat pemakaian pengetahuan sains dan
teknologi yang tidak bijak. Oleh itu, ncwo mencadangkan beberapa usaha sampingan
dengan pelaksanaan dasar sains iaitu: a) Banyakkan lagi pembiayaan pendidikan
berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar dan warisan alam semulajadi. (b)
Mudahkan akses orangramai kepada penemuan-penemuan sains dan teknologi. (c)
Ahli sains hendaklah diberi cabaran seperti menjaminkan bekalan "Air bersih" "Udara
tanpa Kecemaran" dan "Saliran untuk Keselamatan" (d) Adakah kempen-kempen
untuk membangkitkan kesedaran umum seperti mengadakan "Minggu Sains" dan pameran-pameran
berkala.
-
K-Ekonomi
Bagi mewujudkan matlamat K-Ekonomi, NCWO mengesyorkan supaya: (a)
Mutu dan keberkesanan pendidikan hendaklah dipertingkatkan (b) Wujudkan sumber-sumber
tabung ilmu dan maklumat seperti menggalakkan kerja-kerja dokumentasi, peranan
perpustakaan, internet, media massa dan sebagainya. (c) Mewujudkan network
yang berkesan berkaitan dengan penggunaan teknologi. (d) Wujudkan "National
Databases" dan "coordinatingcentres" (e) Banyakkan lagi bantuan kewangan bagi
penyelidikan yang relevan. (f) Libatkan sector swastar. (g) Pertingkatkan
penyertaan wanita dalam bidang teknologi baru dan IT.
IV.
Pandangan mengenai PENYUSUNAN SEMULA MASYARAKAT NCWO
mengalu-alukan matlamat serampang dua mata bagi usaha menyusun semula masyarakat.
Iaitu: (a) Untuk mempertingkat mutu kehidupan dan (b) Untuk mempertingkatkan perpaduan
rakyat. Ke arah mencapai dua matlamat ini, NCWO telah mengenal pasti beberapa
kriteria atau pra syarat yang mesti diberi perhatian sewajarnya. Kriteria-kriterianya
adalah seperti berikut: -
Untuk mempertingkatkan MUTU KEHIDUPAN, NCWO mengesyorkan supaya usaha dihalakan
kepada:
(a) Kesihatan - mestilah mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan dan
keberkesanan perkhidmatan di merata-rata tempat tidak kira di bandar atau di luar
bandar (b) Perumahan - mestilah yang bermutu dan dirancangkan secara menyeluruh,
rumah kediaman mampu dibeli/disewa oleh golongan pendapatan tertentu dan kemudahan-kemudahan
diperbekalkan tanpa gangguan. (c) Pendidikan - mestilah diberi peluang untuk
semua menikmati perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan, tanpa meminggirkan
mana-mana golongan kanak-kanak. Pendidikan mestilah relevan, bermutu, berkesan,
dan memenuhi kehendak kanak-kanak, ibubapa, masyarakat dan keperluan negara (dengan
tidak semestinya ada konflik di antara pihak-pihak ini.) (d) Hapuskan Kemiskinan
- kesan-kesan buruk akibat kemiskinan hendaklah diatasi. (e) Perkongsian Bestari
- Smart Partnership yang bertahan terutamanya di peringkat keluarga melalui perkongsian
tanggungjawab, tugas, dan manfaat hidup bahagia mestilah digalakkan. (f) Alam
Sekitar - yang bersih, subur, dan terpelihara daripada pencemaran buatan manusia,
selamat dan mesra kanak-kanak, orang-orang cacat, warga tua dan sebagainya. (g)
Gaji Minima - semua pekerja berhak mendapat gaji minima. Kadar pengangguran mestilah
pada kadar yang paling minima.
-
Untuk matlamat PERPADUAN RAKYAT, NCWO mengsyorkan:
(a) Satu perancangan yang
menyeluruh hendaklah diadakan bagi program-program untuk mempertingkatkan ciri-ciri
berikut: hormat-menghormati di antara satu dengan lain, persefahaman yang matang
mengenai warisan dan sejarah rakyat Malaysia, perlu mempertahankan maruah dan
image rakyat dan negara, baik di dalam negeri mahupun di kalangan masyarakat antarabangsa.
Rakyat Malaysia mestilah dipupuk secara berterusan supaya cintakan tanah air dan
bangga akan segala kemajuannya, tanpa mengira kaum keturunan. (b) Mestilah
mempertingkatkan usaha bagi membasmi kemiskinan yang masih berasaskan kaum-kaum
tertentu, tanpa memihak mana-mana kaum. Satu tabung kecemasan bagi membantu rakyat
yang menimpa "kemiskinan" akibat bencana alam, kehilangan punca pendapatan, atau
yang menjadi mangsa gejala sosial seperti cerai berai, kematian ketinggalan, atau
apa jua kejadian yang memerlukan bantun orang ramai. (c) Perpaduan rakyat
tidaklah semestinya bergantung kepada budaya hidup yang seragam. Setiap kaum hendaklah
bebas mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing, tetapi mereka hendaklah
taat kepada RUKUN NEGARA sebagai warganagara Malaysia. (d) Satu kempen hendaklah
diadakan bagi mewujudkan "Malaysia campuran" atau "mixed community" di merata-rata,
yang mencerminkan budaya dan nilai-nilai hidup ala Malaysia, yang maju, akrab
- a caring society- dan yang lestari (sustainable). (e) Di semua peringkat
masyarakat wanita dalam proses membuat keputusan dan peranan wanita sebagai ahli
masyarakat dan dalam masyarakat yang dinamis hendaklah ditegaskan. (f) Satu
wawasan yang dikongsikan bersama oleh semua rakyat Malaysia hendaklah dipupuk
dan dimajukan. (g) Integrasi geografi (territorial integration) hendaklah
diberi tumpuan perhatian yang penting, terutamanya bagi negeri-negeri Sabah dan
Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung. (h) Usaha memupuk satu bangsa
"Malaysia" hendaklah dibincangkan secara terbuka dan dikenalpasti ciri-ciri yang
boleh dikongsikan oleh semua kaum secara ikhlas dan sukarela.
V.
Pandangan mengenai PEMBASMIAN KEMISKINAN NCWO
menganggapkan pembasmian kemiskianan satu-satunya usaha yang paling penting ke
arah kemajuan dan kesejahteraan rakyat. Selagi terdapat kelompok-kelompok kemiskinan
di negara ini, tidaklah boleh dikatakan yang kita telah mencapai taraf pembangunan
maju dan membangun. Bagi
mempercepatkan tercapainya matlamat pembasmian kemiskinan ini NCWO mengemukakan
beberapa syor seperti berikut: -
Definasi kemiskinan
Kami
berpendapat bahawa taraf yang digunakan sekarang adalah kurang memuaskan kerana
ia tidak merangkumi petunjuk "cost of living" size keluarga dan lokasi penduduk
berkenaan sama-ada di bandar atau di laur bandar. Kami berpendapat kriteris kemiskinan
mesti juga mengambil kira perbekalan kemudahan asas, seperti tempat tinggal, makanan,
pendidikan dan juga kemudahan air bersih, letrik dan pembuangan najis.
-
Golongan "Mudah miskin" (Vulnerable Groups)
Kerajaan
perlu memberi lebih perhatian terhadap golongan yang berisiko tinggi ini. NCWO
ingin menarik perhatian kerajaan kepada golongan seperti di bawah ini: WANITA
AM Ditinggalkan suami Dewasa yang kurang upaya Suami meninggal dunia Anak yatim
dewasa Bercerai Penggangur Ibu tunggal Mangsa pencemaran alam Pendatang/pelarian
Pendatang/pelarian
-
Buta huruf atau tiada Pendidikan Formal
Walaupun
sistem pendididkan kita menjaminkan peluang pendidikan untuk semua kanak-kanak,
namun Kementerian Pendidikan hari ini masih enggan untuk melaksanakan pendididkan
"wajib" atau compulsory education for all. NCWO berpendapat oleh demikian, ada
di antara keluarga miskin yang tidak menghantar anak-anak mereka untuk bersekolah
atau mencari nafkah dan sebagainya, atau tidak mampu membiayai perbelanjaan sekolah.
Kerajaan hendaklah mengenalpasti keluarga-keluarga miskin untuk memberi bantuan
khas persekolahan tanpa mengira kaum, selain daripada bantuan-bantuan yang ada
sekarang seperti biasiswa, pinjaman buku teks, pakaian seragam percuma dan sebagainya.
Kerajaan hendaklah melibatkan NGO-NGO untuk menjayakan kelas-kelas dewasa dan
latihan pekerjaan.
- "Social
Safety Nets"
NCWO mengesyorkan supaya diadakan tabung kecemasan untuk
membantu keluarga-keluarga miskin, dan keluarga yang terjatuh miskin oleh beberapa
sebab tertentu. Untuk melaksanakan tabung kecemasan ini, definisi keluarga (di
sisi undang-undang) hendaklah disemak semula, supaya pihak yang perlukan bantuan
tidak terhalang oleh sebab definisi-definisi undang-undang yang sedia ada. NCWO
juga mengesyorkan tabung ini digunakan untuk membiayai sarahidup buat sementara
waktu dalam jangkamasa keluarga itu melalui proses litigasi dan sebagainya. Bantuan
wang hendaklah dibayar terus kepada ibu yang menyarai anak-anak berkenaan, bukan
melalui suami atau bapa.
-
Tindakan Parti
Politik NCWO juga mengesorkan bahawa setiap wakil rakyat
dan ahli DUN ditugaskan mengawasi kawasan masing-masing dan mengenalpastikan golongan-golongan
miskin yang perlu diberi bantuan. Dengan demikian satu database di peringkat negeri
dapat diwujudkan mengenai kemiskinan.
-
Tabung EPF untuk Suri Rumah
NCWO mengesyorkan supaya Kerajaan memperkenalkan
satu Sekim Simpanan Kerja (EPF) untuk suri-suri rumah yang tidak mempunyai pekerjaan
di luar rumah (full time home makers). Kerajaan, melalui Jabatan Kebajikan, hendaklah
mewujudkan satu sistem tabung wang simpanan untuk suri-suri rumah, terutamanya
bagi isteri-isteri pekerja sementara atau pekerja kontrak, sebagai jaminan masa
tua, atau pun masa balu atau masa dicerai nanti.. Majikan-majikan hendaklah diminta
bekerjasama menyumbangkan caruman wang kepada tabung ini, sebagai satu usaha mencegah
berlaku kemiskinan di kalangan ibu-ibu tunggal dan wargatua-wargatua wanita.
VI.
Pandangan mengenai KEWANGAN DAN PERBANKAN -
NCWO menyokong syor untuk mengembangkan sistem perbankangan Islam di seluruh tanah
air. Sistem ini hendaklah diperkenalkan kepada rakyat jelata melalui kempen penerangan
dan media massa supaya rakyat dapat memahaminya dengan lebih jelas.
-
Pada pendapat NCWO, perbankan Islam adalah satu instrument kewangan yang berpotensi
besar untuk dikembangkan. Kelebihannya terletak pada hakikat ianya satu system
alternatif yang mampu menarik orang ramai melalui skim-skim kewangan alternatif
seperti "profit-sharing" "buying and selling", "differed payment" dan lain-lain
yang semuanya memberi peluang dan kemudahan tertentu pada pelanggan. Bank Islam
juga merupakan satu-satunya bank di Malaysia yang mewujudkan pakej tabungan khas
bagi wanita.
-
Di samping merupakan satu sistem yang dapat menggalakan penabungan, ia juga mampu
diekspot sebagai satu produk kewangan kepada negara-negara Islam lain. Perbankan
Islam juga telah berjaya menarik minat pelanggan bukan Islam seperti ternyata
pada wujudnya sistem tersebut di Germany dan beberapa negara Eropa lain.
-
Berdasarkan maklumat ini NCWO mencadangkan supaya Kerajaan mengambil langkah-langkah
untuk memajukan sistem kewangan dan perbankan ini. NCWO mengesyorkan langkah-langkah
seperti berikut:
(a) Usaha-usaha untuk menjelaskan dan mengiklankan ciri-ciri
dan kelebihan Bank Islam harus dipertingkatkan supaya ianya lebih difahami serta
diketahui umum. (b) Produk-produk Bank Islam haruslah dopakej dan diiklankan
menurut keperluan utama serta konteks masyarakat di mana ianya diiklankan. (c)
Usaha pengiklanan hendaklah juga dijalankan di luar negara.
VII.
Pandangan mengenai PERPADUAN NEGARA -
NCWO ingin mencadangkan supaya diadakan satu dasar khas mengenai Pepaduan Negara
(A Policy on National Unity). Dasar ini hendaklah menggariskan prinsip-prinsip
utama bagi memupuk dan memajukan perpadaun negara. Jabatan Perpaduan Negara hendaklah
agensi yang bertangguangjawab mengenai pelaksanaan dan pemantauan dasar ini.
-
Kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan hendaklah mempunyai rancangan yang aktif
dan terserlah dalam memasukkan perspektif perpaduan negara dalam dasar dan program
masing-masing. Satu "impact assessment" hendaklah dijalankan supaya usaha membuat
ubahsuai bagi mempertingkatkan keberkesanan program dapat diadakan.
-
NCWO juga mengesyorkan supaya satu kempen mempertingkatkan kesedaran "increase
awareness and consciousness towards National Unity" dilancarkan secepat mungkin
dengan melibatkan semua pihak termasuk NGO, sektor swasta dan media massa.
-
Pendidikan adalah satu-satunya alat penting untuk memupuk semangat perpaduan dan
cintakan keamanan. Oleh itu, NCWO mengesyorkan supaya sekolah dan kurikulum pendidikan
memberi tegasan khas bagi membina semangat pepaduan dan keamanan di samping mempertingkatkan
mutu pendidikan akademik dan nilai-nilai murni.
-
Berkaitan dengan ini, NCWO menggesa supaya sekolah-sekolah berasrama penuh dibuka
kepada kaum-kaum lain, supaya pelajar-pelajar dapat bergaul dan dapat memahami
budaya dan pegangan kaum-kaum lain daripadanya.
-
Polarisasi kaum di peringkat universiti hendaklah dikikis habis secepat mungkin,
sebelum ia dapat mempunyai kesan-kesan yang negatif terhadap perpaduan negara.
Setiap Universiti dan institusi pelajaran tinggi, baik di bawah Kementerian Pendidikan,
mahupun di sektor swasta mestilah bertanggungjawab (dan accountable) bagi memupuk
dan mempertingkat perpaduan negara.
-
Parti-parti politik hendaklah juga berwaspada dan elak daripada memperjuangkan
isu-isu dan kepentingan kaum tertentu. Ahli-ahli pilitik hendaklah bertanggung
jawab dan accountable atas tindak tanduk masing-masing agar tidak membangkitkan
api benci membenci di antara kaum-kaum di Malaysia.
-
Perkongsian atau partnerships di antara Kerajaan dan badan-badan bukan Kerajaan
hendaklah dipertingkatkan dalam semua rancangan yang bertujuan bagi memupuk semangat
perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Disusun
oleh: YBHG
Puan Sri Prof Datuk Dr. Hajjah Fatimah Hamid Don Naib Yang Di Pertua Zon Tengah
(Selangor & Wilayah Persekutuan) 14 Januari 2000 |